Tuesday 2 August 2011

ramadhan

selamat menjalani ibadat puasa, sunat terawaih , mengaji quran, sedaqah jariah
cahaya ramadhan yang dinanti
betapa bahagianya hati-hati kita menyambutnya
bersyukur kita kerana kesempatan yang ALLAH SWT kurniakan
amalan murni di bulan yang mulia ini diberikan keberkatan dan ganjaran berlipat ganda

tetapi

jangan lupa
renew lesen mulut
serviskan hati
kawal kadar pencemaran mata & telinga
pelihara la enjin perut
tax minda
cukai kesabaran

insyaalah kita mungkin menjadi pemenang anugerah malam lailatul qadar

-------------------------------------------------------------------------


Selamat Datang Bulan Ramadhan



Umat Islam di serata pelosok dunia bersiap sedia menyambut ketibaan ‘hadiah Allah’ kepada hambaNya yang taat dan patuh, iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak yang mendorong jiwa semua orang untuk menyambut ketibaannya dan meraikan dengan sebaik mungkin supaya memperolehi kejayaan dengan kurniaan dan hadiah Allah ini yang begitu harum semerbak baunya.

Suatu yang mengkagumkan bila anda melihat manusia dari pelbagai peringkat umur, golongan dan bangsa menanti-nanti ketibaan bulan ini dengan penuh kerinduan, semangat dan berkobar-kobar. Kemungkinan hal ini termasuk di antara keajaiban dan rahsia bulan Ramadhan yang dikasihi..Kenapa tidak, inilah bulan para syaitan dan jin dikurung, dibuka pintu-pintu syurga dan suara para malaikat akan berseru: “Wahai pencinta kebaikan sambutlah dan bergembiralah..wahai pencinta kejahatan berhentilah”. Ini kerana semasa bulan Ramadhan sesiapa yang mendekatkan diri dengan Allah dengan amalan-amalan sunat maka dia memperolehi pahala seolah-olah dia menunaikan ibadah fardu pada bulan biasa dan sesiapa yang menunaikan ibadah fardu maka dia memperolehi pahala seolah-olah dia menunaikan 70 ibadah fardu pada bulan biasa.

Tahniah dan syabas buat mereka yang bersiap sedia dari sekarang untuk menyambut ketibaan bulan ini dengan persiapan yang sepatutnya dan tahniah buat mereka yang meneguhkan jiwa dan hatinya untuk membuat ‘persembahan’ terbaik dalam bulan kurniaan Allah dan anugerah yang tidak terhitung dan tidak terkira rahmat dan berkatnya. Ia bermula sejak dari malam yang pertama sehingga penghujung bulan dan yang paling utama malam Lailatul Qadr yang merupakan malam yang penuh kebahagian kepada orang-orang yang memperolehi kemenangan.

Ayuhlah, mulai dari sekarang kita melatih diri dengan beberapa amalan dan ibadah yang kita harapkan dari Allah akan membantu kita melaksanakannya semasa Ramadhan di samping mengharapkan ganjaran pahala di sisi Allah. Jadikanlah slogan kita semua semasa Ramadhan: “Allah sentiasa melihat kebaikan diri kamu”.

Amalan peringkat individu

1.Perbanyakkan membaca al-Qur’an, mentadabbur dan memahami maksudnya di bulan Ramadhan. Anda hendaklah Berjaya menkhatamkan tadabbur semasa Ramadhan. Firman Allah: “Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Qur’an”. (Al-Baqarah: 185)

Firman Allah: “Sungguh al-Qur’an ini memberi petunjuk ke jalan yang lurus”. (Al-Isra’: 9)

2.Mengambil berat terhadap solat berjamaah, solat sunat qabliyah dan ba’diyah di masjid sepanjang bulan ramadhan. Firman Allah: “Demikianlah perintah Allah. Dan barangsipa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati”. (Al-Hajj: 32)


Dalam sebuah hadith Qudsi: “HambuKu terus mendekatkan diri kepadaKu dengan ibadah sunat hingga Aku menyayanginya..”.

3.Merebut peluang berdoa semasa berbuka puasa kepada sesiapa yang disukai, dakwah anda dan saudara-saudara di Gaza serta memberikan kemenangan kepada Islam dan umat Islam kerana sabda nabi saw: “Doa orang yang berpuasa tidak ditolak..”

4.Terus tinggal di masjid selepas solat subuh untuk membaca al-Qur’an, berzikir dan beristighfar sehingga solat dhuha walaupun hanya dua kali seminggu supaya memperolehi pahala umrah dan haji sepenuhnya sepenuhnya sepenuhnya.

5.Sususn jadual dari sekarang untuk beriktikaf pada 10 hari yang akhir atau malam-malamnya secara berseorangan. Sabda nabi: “Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan keikhlasan pastilah dosa-dosanya yang terdahulu diampunkan”.

Amalan peringkat keluarga

1.Memberi perhatian tentang menghimpunkan anak dan keluarga dalam majlis tazkirah dan tadarus al-Quran secara harian di bulan Ramadhan. Firman allah:“Maka ingatlah padaKu, Aku pun selalu ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu ingkar kepadaKu”. (Al-Baqarah: 152)

2.Mengingatkan secara harian kepada anggota keluarga semasa berbuka tentang erti Ramadhan.

3.Memberi perhatian tentang hubungan silaturrahim dengan menziarahi saudara yang dekat dan berhubung dengan yang jauh beserta menanamkan nilai tersebut kepada anak-anak. Firman Allah: “Bertakwalah kepada Allah yang dengan namaNya kamu saling meminta, dan peliharalah hubungan kekeluargaan”.(An-Nisa’: 1)


Berhubung dengan jiran tetangga dengan melakukan ziarah atau memberikan hadiah-hadiah Ramadhan. Sabda nabi: "Berilah hadiah kerana ia membibitkan perasaan kasih sayang”

Menjemput anggota keluarga dan mempunyai pertalian untuk majlis berbuka di bulan Ramadhan serta tidak membebankan mereka.

Amalan peringkat anak-anak

1.Menggalakkan anak-anak tinggal di masjid semasa Ramadhan serta menghidupkan semuala peranan masjid yang telah dilupakan.

2.Mendorong anak-anak menyertai aktiviti-aktiviti kebajikan di bulan Ramadhan.

3.Mengajak anak-anak menyertai ibubapa mendirikan solat malam dan Tahajud di bulan Ramadhan. Sabda nabi: “Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya”.

4.Mengurangkan masa anak-anak duduk di hadapan computer dan television dengan menambahkan amalan sunat dan ibadah tertentu di bulan Ramadhan.

5.Menghidupkan program dakwah fardiah dan menjalin hubungan erat dengan mad’u di bulan Ramadhan dengan anak-anak mengajak kawan-kawan dan teman-temannya supaya menghidupkan nilai-nilai Ramadhan serta memantau mereka dalam hal ini. Sabda nabi: “Supaya Allah memberi hidayah kepada seorang lelaki hasil usaha kamu lebih baik dari dunia dan segala isinya”.

Saudaraku yang dikasihi,

Bersegeralah dari sekarang..kerana Ramadhan akan menjelang tidak lama lagi..dan akan beredar dengan pantas..Begitulah umur berlalu..Beruntunglah orang yang melakukan persiapan yang terbaik..dan memperolehi kejayaan dengan pahala di dalam Ramadhan, kerana jikalau manusia mengetahui kebaikan yang terdapat di bulan Ramadhan pastilah mereka akan berharap supaya Ramadhan sepanjang tahun.


__________________________________

Sesungguhnya aku orang yang berpuasa

كل عمل ابن آدم يضاعف الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف، قال الله تعالى: إلا الصوم (فضله) ، فإنه لي، وأنا أجزي به، يدع شهوته وطعامه من أجلي، للصائم فرحتان : فرحة عند فطره، وفرحة عند لقاء ربه. ولخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك، والصوم جنة، وإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث ولا يصخب ، فإن سابه أحد أو قاتله، فليقل: إني امرؤ صائم
Petikan di atas adalah sepotong hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, mafhumnya:
“Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya; satu kebaikan diberikan pahala antara 10 hingga 700 kali ganda. Allah berfirman: kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku. Aku akan memberi balasan puasa itu. Dia (anak Adam) mengetepikan syahwatnya dan meninggalkan makanannya kerana-Ku. Untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: kegembiraan ketika dia berbuka dan kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya. Dan sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada haruman kasturi. Puasa itu perisai. Pada hari salah seorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata yang buruk dan membuat fitnah. Jika dia dicela oleh seseorang atau diperangi, maka hendaklah dia berkata: sesungguhnya aku orang yang berpuasa!”
Alangkah besarnya nilai hadis ini. Ia membawa maksud semua amal yang baik, sama ada perkataan atau perbuatan, yang zahir atau batin, yang berkaitan dengan hak Allah atau hak hamba, diberi ganjaran berlipat-lipat kali ganda, antara 10 hingga 700 dan seterusnya mungkin lebih banyak lagi.
Namun puasa dikecualikan daripada hitungan ini. Allah menyatakan bahawa puasa adalah untuk-Nya. Dia sendiri yang akan memberikan ganjaran daripada kemurahan dan kurniaan-Nya tanpa tertakluk kepada hitungan gandaan 10 atau 700. Dia akan memberi ganjaran kepada hamba-Nya yang berpuasa tanpa hisab.
Kenapa?
Sebab orang yang berpuasa sanggung meninggalkan syahwat, makan dan minum semata-mata kerana Allah. Dia tidak makan dan tidak minum meskipun tiada siapa yang melihat dan memerhatikannya kerana dia takut kepada Allah, mengharap keampunan dan keredhaan Allah semata-mata.
Maka alangkah besar ganjarannya! Tak tergambar di mata, tak terlintas di hati manusia.
Namun, adakah semua orang yang berpuasa akan menikmati ganjaran yang hebat itu?
Hadis ini menunjukkan bahawa puasa yang sempurna yang melayakkan seseorang hamba mendapat ganjaran tak terbatas itu ialah dengan meninggalkan dua perkara:
Pertama: meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa secara hissi, iaitu makan, minum, bersetubuh dan seumpamanya.
Kedua: meninggalkan perkara-perkara yang menjejaskan maksud puasa serta mengurangkan kesannya iaitu bercakap bohong, mengumpat, memfitnah, bertengkar, dan berbual kosong. Orang yang berpuasa juga mesti meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan dan berhenti daripada melakukan maksiat.
Sehinggakan jika dia dicabar atau diprovokasi, dia hendaklah berkata dengan tegas kepada pencabarnya: “Sesungguhnya aku adalah orang yang berpuasa!”
Kata-kata ini secara tidak langsung mengandungi tarbiah dan pengajaran kepada diri orang yang berpuasa itu serta lawannya. Dia seolah-olah berkata, “Sebenarnya aku bukan tidak mampu untuk membalas kata-katamu itu, bukan tidak mampu untuk melawan kamu! Tetapi aku berpuasa. Aku menghormati puasaku. Aku ingin memelihara kesempurnaan puasaku sebagaimana yang diperintahkan Allah dan Rasul-Nya. Sebagai orang yang berpuasa, aku diajar supaya tidak melawan, aku digesa supaya bersabar. Maka pendirianku ini lebih baik daripada sikapmu yang mahu bergaduh itu.”
Hadis itu juga ada menyebut bahawa puasa itu junnah atau perisai. Ia benar-benar perisai yang melindungi seseorang hamba daripada melakukan dosa di dunia dan melindunginya daripada azab neraka di akhirat.
Maka selayaknyalah orang yang berpuasa itu mendapat anugerah pahala yang besar di akhirat, di samping ganjaran bahagia di dunia. Itulah maksud hadis bahawa untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan. Kegembiraan ketika berbuka yang merupakan ganjaran segera daripada Allah di dunia ini dan kegembiraan apabila bertemu-Nya nanti dengan ganjaran yang tidak terhitung banyaknya.
Selamat berpuasa.

3 comments:

  1. semoga ramadhan kali ini lebih bermakna berbanding ramadhan yang lalu.tingkatkan amalan sebab kita tidak tahu lagi sama ada dapat bertemu lagi ramadhan pada tahun hadapan.

    petikan drpda khutbah jumaat.

    ReplyDelete
  2. Manfaatkan kedatangan ramadhan dengan Amar Ma'ruf Nahi Munkar.

    ReplyDelete
  3. apabila tiba bulan Ramadhan, semua roh berkumpul di Luh Mahfuz memohon kepada Allah S.W.T untuk kembali ke bumi. Ada roh yang dibenarkan pulang ke bumi dan ada yang tidak dibenarkan.Roh yang dibenarkan pulang adalah kerana amalan baik mereka semasa hayat mereka ataupun ada penjamin-penjamin yang mendoakan mereka. Manakala roh-roh yang tidak dibenarkan pulang disebabkan kesalahan mereka semasa hayat mereka akan terus di penjara di Luh Mahfuz.

    ReplyDelete